Selasa, 27 November 2012

KAJIAN TINDAKAN


1.1      PENDAHULUAN

 Menurut pendekatan konvensional, kajian tindakan hanya dijalankan dalam konteks bilik darjah sahaja. Ini tidak begitu tepat dalam konteks sekarang. Pada masa kini, takrifan kajian lebih luas dan merangkumi komuniti pendidikan ataupun komuniti yang ada hubungan dengan pendidikan atau sekolah. Kini, kejayaan sesuatu usaha pendidikan bukan peranan satu pihak dan memang bukanlah hanya peranan guru yang menjamin kejayaan pelajar, bahkan lain-lain pihak yang berkepentingan juga memainkan peranan dalam kejayaan pelajar.

Antara pihak berkepentingan atau aspek-aspek yang mempengaruhi kejayaan pelajar adalah guru besar atau pengetua sekolah, ibu bapa, komuniti di mana terletaknya sekolah, kemudahan yang sedia ada di sekolah, tuisyen, kelayakan guru dan sebagainya. Kejayaan sesuatu sekolah bukan lagi disebabkan faktor guru dan pelajar sahaja tetapi gabungan faktor-faktor lain yang sama-sama memberi sumbangan terhadapnya kerana kita harus melihat pendekatan proses pendidikan sebagai satu “integrated approach” ataupun “multi-prong approach”.

Berdasarkan paradigma baru ini, Creswell (2005) membahagikan kajian tindakan kepada dua jenis, iaitu : Kajian Tindakan Amalan (practical action research) dan Kajian Tindakan Penyertaan (participatory action research). Kajian Tindakan Amalan melibatkan peninjauan tentang amalan guru dalam konteks bilik darjah di mana guru itu mengajar.

Ini boleh dijalankan sama ada melalui dirinya sendiri atau pun melibatkan rakan sejawat beliau yang mengajar mata pelajaran yang sama (team-based inquiry) dengan memberi fokus terhadap amalan guru (teacher development) dan pembelajaran pelajar (student learning). Guru yang menjalankan kajian tindakan amalan ini mesti melaksanakan satu pelan tindakan bagi mencapai matlamat beliau sebagai seorang guru penyelidik (teacher as researcher).

Kajian Tindakan Penyertaan melibatkan kajian tentang isu-isu sosial yang menghindarkan perkembangan pelajar. Untuk melihat isu seperti ini, guru perlu meninjau latar belakang sosial pelajar dan persekitaran sekolah serta mengadakan kolaborasi dengan komuniti atau pihak berkepentingan bagi mencari sebab musabab kenapa seseorang pelajar itu tidak boleh menguasai ilmu.

Apabila faktor-faktor yang menghindar pelajar itu diperoleh, maka guru boleh melaksanakan program untuk mengubah “cara hidup” pelajar (life-enhancing changes) dan dengan berbuat demikian, ia akan menjadikan guru sebagai “emancipated researcher” ataupun guru yang membebaskan pelajarnya daripada sesuatu “belenggu” yang mencegah perkembangan pelajar.

Menurut Creswell (2005) kajian tindakan penyertaan “…has a social and community orientation and an emphasis on research that contributes to emancipation or change in our society.” p. 555. Kajian tindakan seperti ini juga digelar dengan berbagai-bagai nama seperti community-based inquiry (Stringer, 1999), collaborative action research or participatory research (Kemmis & McTaggart, 2000) atau critical action research (Mills, 2000).


1.2    DEFINISI DAN  KONSEP

Penyelidikan boleh ditakrifkan sebagai aktiviti yang teratur (sistematik) bagi mencari jawapan / makna kepada soalan-soalan khusus yang dikemukakan tentang sesuatu masalah yang hakikatnya sudak dikenalpasti.  Penyelidikan dalam pendidikan pula ialah aplikasi kaedahsaintifik bagi mengkaji masalah pendidikan dengan tujuan untuk memahami, menerang,  menjangka dan / atau mengawal fenomina pendidikan.

Menurut, The Collins International Dictionary penyelidikan ialah suatu penyiasatan sistematik untuk memperolehi fakta atau maklumat tentang sesuatu perkara. Kamus Webster pula menyifatkan penyelidikan sebagai penyiasatan saintifik untuk membongkar fakta. Apakah yang dimaksudkan dengan penyiasatan saintifik?. Penyiasatan saintifik merupakan kaedah dan cara berfikir sistematik, terkawal, dan empirikal yang bertujuan mengkaji hubung kaitan antara fenomena semulajadi yang boleh diperhatikan (Kerlinger, 1973).

Tiga perkataan penting dalam definisi ini ialah sistematik, terkawal dan empirikal. Penyelidikan saintifik yang sistematik dan terkawal dapat menghasilkan penemuan atau dapatan yang lebih meyakinkan. Penyiasatan saintifik empirikal bermakna kajian yang dirancangkan boleh diuji dalam makmal atau luar makmal dan terbuka untuk diteliti orang lain. Ahli falsafah pendidikan terkenal, John Dewey dalam bukunya How We Thinkmencadangkan pada tahun 1933 bahawa penyiasatan saintifk adalah suatu proses penghasilan idea, mengenal pasti masalah dan penggubalan soalan peyelidikan

Tujuan melakukan penyelidikan tindakan adalah untuk memperbaiki kualiti sesuatu amalan bagi pengamal atau pun individu yang terlibat dengan situasi sosial berkenaan bagi memperbaiki kefahamannya tentang sesuatu peristiwa, situasi dan masalah agar keberkesanan amalan dapat diperbaiki (Chua, 2006). Banyak definisi tentang penyelidikan telah dikemukakan oleh ahli-ahli penyelidikan tindakan. Antaranya:Dalam suatu kenyataan akhbar, disiarkan bahawa “Ramai pelajar tingkatan satu tidak boleh membaca dengan berkesan”.  Berikutan kenytaan itu, ratusan surat  diterima daripada orang ramai memberi pelbagai pendapat mengapa keadaan ini wujud. Antara pendapat yang dikemukakan ialah kaedah mengajar bacaan di sekolah rendah tidak berkesan, saiz kelas yang terlalu besar, guru tidak mengadakan kelas pemulihan, tidak cukup guru bahasa yang berkelayakan, latihan guru yang ketinggalan zaman, pelajar yang tidak minat, tidak cukup kemudahan mengajar bahasa dan seterusnya. Semua ini merupakan pendapat yang munasabah tetapi mana satu yang boleh diterima?. Untuk menjawab pertanyaan ini, penyelidikan perlu dijalankan untuk menentukan mengapa begitu ramai pelajar tingkatan satu tidak boleh membaca dengan berkesan. 
          
Penyelidikan tindakan telah mendapat tempat yang baik dalam bidang pendidikan terutamanya dalam konteks perkembangan profesionalisme dan pembuat keputusan berasaskan data (Othman, 2011). Ia biasanya digunakan untuk menyelesaikan masalah sosial (organisasi) atau pun fenomena dalam jangka masa yang singkat (Lewin, 1964); ini termasuklah bidang-bidang seperti bidang perubatan, keselamatan, pendidikan dan sebagainya.

Elliot dan Adelman (1976 , seperti dinyatakan dalam Chua, 2006) telah mendefinisikan penyelidikan tindakan sebagai satu pendekatan penyelidikan yang berusaha mempertingkatkan mutu profesionalisme para pendidik dengan cara menyelidik situasi sosial di organisasi pendidikan, dan tujuan penyelidikan tindakan ialah untuk memperbaiki kualiti amalan harian.

Manakala Ebutt (seperti dinyatakan dalam Chua, 2006) pula mendefinisikan penyelidikan tindakan sebagai suatu penyelidikan yang dibuat individu atau golongan yang merupakan pengamal kepada amalan harian dalam suatu sosial atau fenomena.

Kurt Lewin (1947) mendefinisikan penyelidikan tindakan sebagai suatu proses lingkaran tiga-langkah iaitu (1) perancangan yang melibatkan tinjauan; (2) mengambil tindakan; dan (3) pencarian fakta tentang keputusan daripada tindakan yang dibuat (Othman, 2011).

Stephen Corey (seperti dinyatakan dalam Othman, 2011) pula mendefinisikan penyelidikan tindakan sebagai usaha yang dilakukan oleh pengamal untuk mengkaji masalah yang dihadapi secara saintifik supaya dapat memberi panduan, membuat pembetulan dan menilai keputusan dan tindakan yang dilakukan.

Mills (2000, seperti dinyatakan dalam Othman, 2011) berpendapat bahawa kajian tindakan adalah satu inkuiri yang dijalankan secara sistematik oleh guru, guru besar atau pengetua, guru-guru pembimbing atau guru lain yang berkepentingan dalam suasana pengajaran/perkembangan pelajar bagi mengumpulkan maklumat tentang persekolahan  mereka, bagaimana pengajaran dibuat dan bagaimana pelajar belajar.

Walaupun berbagai definisi telah diberikan, secara umumnya ahli-ahli penyelidikan tindakan bersetuju bahawa penyelidikan tindakan adalah satu kajian inkuiri di mana pengkaji perlu membuat perbincangan, refleksi dan membuat keputusan ke arah tindakan yang baru sama ada mengaplikasikan penemuan baru atau pun mendefinisikan semula masalah.


1.3    CIRI-CIRI PEYELIDIKAN / KAJIAN TINDAKAN TINDAKAN

Sesuatu penyelidikan biasanya mempunyai empat ciri utama iaitu ia berbentuk empirikal, sistematik, mengikut langkah-langkah logikal dan mematuhi kaedah saintifik. Rajah 2 merumuskan kempat-empat ciri penyelidikan dalam pendidikan.


Penyelidikan dikatakan berbentuk empirikal kerana data dikutip melalui pemerhatian, pengalaman atau pengujian yang sebenar. Sering kali data dikutip secara langsung daripada responden. Data boleh dikutip melalui pelbagai kaedah. Contohnya, data boleh dikutip daripada responden melalui soal selidik; atau data boleh dikutip apabila pengkaji memerhati responden dalam setting tertentu (misalnya, bilik darjah). Data juga boleh dikutip melalui analisis dokumen seperti buku kedatangan murid dan rekod profil murid.

Penyelidikan dikatakan sistematik kerana biasanya ia dirancang dan diurus dengan teliti serta mengikuti prosedur-prosedur tertentu. Kesemua ini adalah perlu untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan penyelidikan. Penyelidikan juga mengikuti langkah-langkah yang logikal. Biasanya, penyelidikan bermula dengan pengenalpastian masalah dan ini diikuti dengan tinjauan literatur, pembentukan soalan kajian, pengumpulan data, penganalisisan data dan rumusan kajian.

Seperti yang dinyatakan di atas, penyelidikan dalam pendidikan biasanya bermula dengan pengenalpastian masalah. Ini diikuti dengan cadangan hipotesis untuk menerangkan sesuatu fenomena dan kemudian menjalankan langkah-langkah penyelidikan untuk menentukan sama ada hipotesis yang dicadangkan itu boleh diterima atau tidak. Penyelidikan juga dijalankan secara objektif iaitu semua dapatan adalah berdasarkan bukti empirikal.

Disebabkan itu, penyelidikan dalam pendidikan dikatakan mengikuti kaedah saintifik. Contohnya, seseorang penyelidik mungkin bermula kajian dengan hipotesis bahawa masalah disiplin di sekolah semakin bertambah disebabkan pengaruh media massa. Kemudian beliau akan menjalankan langkah seperti mengumpul data melalui soal selidik atau memerhatikan murid di beberapa buah sekolah untuk mengumpul data bagi menentukan sama ada hipotesis beliau boleh diterima atau tidak.


1.4    TUJUAN PENYELIDIKAN  / KAJIAN TINDAKAN      

Kajian tindakan bertujuan untuk memperbaiki amalan pengajaran, memperbaiki atau meningkatkan kefahaman terhadap amalan pengajaran, dan memperbaiki situasi di mana pengajaran dijalankan. Semua guru adalah penyelidik kerana sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengajaran secara langsung sebenarnya terlibat dalam proses penyelidikan tindakan melalui semua fasa iaitu merancang, melaksana, memerhati dan mereflek. Kepentingan guru melaksanakan penyelidikan ke atas pengajaran dan pembelajaran juga telah ditegaskan oleh Stenhouse (1984:69) iaitu:
...Guru yang baik tidak perlu disuruh membuat sesuatu. Mereka tidak bergantung kepada penyelidik-penyelidik, Jemaah Nazir, pihak yang membuat inovasi atau penyelia. Guru yang baik adalah sentiasa rela menerima nasihat, bimbingan dan bantuan. Pendidik-pendidik luar bilik darjah boleh memberi khidmat nasihat tetapi hanya guru sahaja yang akhirnya diamanahkan untuk mengajar dengan baik. Oleh yang demikian, guru sepatutnya menganggap strategi-strategi dan teknik-teknik pengajaran sebagai percubaan dan eksperimen supaya mereka dapat mengkritik kemahiran-kemahiran mereka bagi mencapai peningkatan kemahiran profesionalisme. Perbuatan sedemikian membawa maksud bahawa guru patut melibatkankan diri dengan penyelidikan bilik darjah.

Budaya penyelidikan amat perlu diterap dan diberi penekanan dalam kalangan guru di sekolah. Ia amat bertepatan dengan tugas guru sebagai pendidik yang sekali gus berperanan sebagai agen perubahaan. Sehubungan dengan itu, setiap permasalahan, kekangan atau kerumitan yang berlaku pada peringkat sekolah sewajarnya dapat diselesaikan secara bijaksana oleh warga pendidik di sekolah.

Penyelidikan Tindakan berdasarkan kepercayaan bahawa guru ialah orang yang paling memahami tentang pengajarannya dan digalakkan menggubal teori-teori mereke sendiri dan menguji teori-teori berkenaan dalam bilik darjah. Contohnya, guru yang percaya bahawa murid perlu diberi peluang memberi berfikir secara kreatif, akan mengatur pengajarannya supaya lebih ramai murid berpeluang memberi cadangan dan pendapat.  Terdapat dua sebab mengapa Penyelidikan Tindakan begitu diminati oleh guru ; pertama, ia melibatkan guru dengan kerja harian mereka dan kedua, ia menggalakan guru membawa perubahan kepada apa yang dilakukan.                 
         

1.5    MODEL KAJIAN TINDAKAN
         
Terdapat beberapa model penyelidikan tindakan yang dicadangkan oleh para penyelidik yang dapat membantu guru untuk menjalankan kajian di bilik darjah. Dua model dibincangkan di bawah iaitu Model Kemmis dan McTaggart (1988) dan Model Spiral Model tersebut menyarankan empat langkah kajian tindakan berdasarkan gelungan (cycle) seperti mereflek (Reflect);  merancang (Plan);  bertindak (Action); dan memerhati (Observe).


Berdasarkan pada kedua-dua model di atas, kajian tindakan adalah merupakan satu proses berulangan iaitu kajian yang berterusan ke atas amalan sosial dan penyelidik membuat refleksi tentang tindakannya dalam kitaran pertama sebelum kitaran kedua bermula sama ada tindakannya telah mengubah keadaan semasa atau pun tidak (Chua, 2006). Proses kajian tindakan akan diulang semula jika didapati perlu berbuat demikian dengan memilih tindakan lain yang dapat membantu menyelesaikan masalah sosial berkenaan. Ini akan dilakukan dalam kitaran kajian tindakan selanjutnya.


1.5   RUMUSAN                   

Kesimpulannya, berdasarkan pelbagai definisi dapat dirumuskan bahawa kajian tindakan merupakan satu kaedah untuk guru mereflek masalah yang mereka hadapi, memungut dan menganalisis data dan melaksanakan perubahan terhadap amalan mereka berdasarkan dapatan-dapatan yang diperolehi. Kajian tindakan menjurus kepada matlamat menjalankan penyelidikan tindakan, iaitu atas keinginan dan kecenderungan guru untuk membaiki kualiti amalan atau pengajaran pembelajaran serta situasi kerja. Sehubungan dengan itu, guru dapat mengatasi masalah yang dihadapinya dalam konteks amalan mereka sendiri.

                                                                      





Tiada ulasan:

Catat Ulasan