Isnin, 19 November 2012

GELI


“Inilah rumah kami,” kata Fuad sambil menarik pedal brek kereta yang dipandunya. Farah dan Cyntia tersenyum melihat rumah yang bakal didiami selama beberapa jam nanti. Fuad mematikan injin kereta Proton Iswara keluaran tahun 1990an yang sudah jem pintu kanannya itu. Farah terpaksa keluar mengikut Cyntia sebelah kiri.

“Kak berdua dok dulu, saya pi kedai jap,” Fuad mengundurkan keretanya setelah mengeluarkan barangan yang dibawa.  Farah dan Cyntia menganggukkan kepala.

“O…ho… ada bela arnab. Jantan ke betina nie?” Tegur Farah

“Jantan. Dulu ada bininya, anak pun ada tapi dah mati bila kena penyakit. Yang tu pun sakit, tu la duk diam je… Sebab Amir le yang suka main.  Kalau tak kami tak bela.” Terang Seha merujuk arnab yang berada dalam sangkar, betul-betul di tepi pintu rumah yang kelihatan terkejut dengan kehadiran kami.  Cyntia menutup hidung, mungkin tidak tahan dengan bau hamis arnab lebih-lebih lagi apabila melihat najis binatang itu di merata tempat seperti tidak pernah dicuci.

“Kerja macam kami ni kak, tak der masa nak bersih dan hias rumah,” sambung Seha seolah-olah mengerti maksud tingkah Cyntia itu, sebenarnya dia cuba menutup kelemahan dirinya sebagai surirumah. Seha terus membuka pintu rumah sambil cepat-cepat membetulkan kerusi dan kusyen buruk yang berselerakan.

“Betullah tu, syukur juga ada tempat berteduh dan selesa ala kadar,” Farah membalas tetapi sebenarnya mahu menyembunyikan ketidakselesaan yang bakal dihadapi. Ada karpet lama sudah lusuh dengan bau yang masam. Terasa geli memijaknya kerana memang lembab dan kotor. Perasaannya bercampur-baur, susah hendak digambarkan kerana terasa malu pada Cyntia. Ini pengalaman pertama Cyntia berada dalam keluarga Melayu.

Entah bagaimana nama Cyntia dipasangkan dengan Farah dalam Program Keluarga Angkat anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh.  Progam Keluarga Angkat ini merupakan aktiviti wajib Bina Insan Guru (BIG) bagi memenuhi syarat mendapatkan ijazah dalam program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) yang mereka ikuti. Farah dan Cyntia sebenarnya telah menjadi guru melebihi dua puluh tahun, sudah bekeluarga dan biasa bergaul dalam masyarakat tetapi tidak menyangka program seperti ini mesti juga ditempuhi. 

Walau bagaimanapun keduanya sentiasa positif kerana menganggap program ini akan memberi lebih pengalaman dan pengetahuan.  Bagi Farah inilah peluangnya bertemu dan bergaul dengan orang kampung berketurunan Pattani di daerah utara ini kerana dia juga berketurunan yang sama. Tiada masalah baginya untuk berkomunikasi dan menghayati kehidupan mereka kerana latarbelakangnya seperti mereka juga, meskipun sudah hampir tiga puluh tahun tinggal di Bandaraya Ipoh.

Bagi Cyntia pula, walaupun dia berbangsa Cina tetapi bukan tidak pernah berada dalam mayarakat Melayu.  Dia biasa bergaul dengan orang Melayu semasa mengajar di Baling dulu.  Biasa dengan suasana kehidupan dan makanan orang Melayu.  Biasa berhubung dan bergaul dengan orang Melayu.  Biasa menggunakan Bahasa Melayu dengan baik dan inilah faktornya dia memilih pengkhususan Bahasa Melayupun.  Harapannya, dengan program yang ditempuhi ini  akan membantunya lebih memahami budaya orang Melayu.

“Boleh saya pergi bilik air, saya nak mandi dulu ma” pinta Cyntia pada Seha sambil memandang Farah.

“Boleh…, boleh.  Kak Farah…, Kak masuk dalam bilik Ina  anak saya nie untuk salin pakaian.” Beritahu Seha pada Farah sebelum membawa Cyntia ke bilik air di dapur.

Farah membawa beg persalinan ke dalam bilik. Kelihatan sebuah bilik yang sederhana. Alang dan jenangnya dipenuhi sawang memberi gambaran tidak pernah dibersihkan. Sebuah katil dengan beberapa bantal tersusun atas tilam yang berlipat.  Farah mengibas-ngibas lantai menggunakan kain di tepi pintu bagi menyediakan tempat untuk dibentangkan sejadah kerana ingin mengerjakan solat asar. Badannya terasa melekit lantas mencapai tuala untuk mandi dahulu.

Di pintu bilik air, terlihat Cyintia terjengkit-jengkit atas simen dapur mungkin tidak biasa keadaan di situ. Pelek juga…, tapi memang Farah akui rupanya lantai simen itu melekit-lekit ditambah pula dengan air yang bertakung dalam bilik air.  Air mandian Cnytia  tadi tidak masuk ke lubang.  Farah mengambil batang penyapu, lalu menguis-nguis sampah yang berkumpul di lubang bilik air.  Barulah air bertakung tadi berkurangan.

Melihat kain basahan tiada di situ, Farah meminta Seha sehelai kain batik untuk dibuat basahan. Terkejutnya Farah apabila menarik pintu untuk ditutup, rupanya pintu itu  sudah terkopak. Tiada ensel yang menyambung pintu itu ke dinding.

“La…, memang begini ke pintu nie!” jerit Farah kehairanan. 

“Ya… Kak. Tak payah tutup, kami dah biasa begitu!”

“Heis…ss…s…  mana boleh begitu, suami Seha, Fuadkan ada”

“Tak pa Kak, dia tak datang dapur…”

Tanpa menghiraukan kata Seha, Farah tetap mengangkat pintu itu dan meletakkannya di tengah-tengah.  Nasib baik pintu itu jenis plastik yang ringan untuk diangkat. “Sekurang-kurangnya tertutup jugak, Kalau tak mandi sekarang, nanti sampai besok aku tak mandi,” bisik Farah mententeramkan hatinya.

Menceduk air di kolah terasa sejuknya, tapi terlihat pula dasar kolah yang hitam dan berlumut. Berkumpul kelodak yang dia tidak pasti kebersihannya. Geli rasanya untuk menjirus ke kepala.  Dibukanya paip, lantas ditadah air menggunakan gayung. Begitulah berulangkali dilakukan kerana dia tidak sanggup menggunakan air yang kotor meskipun kesejukan air kolah begitu menyegarkan.

“Kesian Cyntia…, mesti dia pun begini. Mesti dia geli. Mesti tak selesa. Mesti memberi kesan kepada minda dan emosinya.  Aku tidak boleh menunjukkan rasa geli ini kepada dia.  Aku mesti yakinkan dia untuk menerima keadaan ini supaya  tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif, supaya tidak menimbulkan sebarang masalah dan kekecohan akibat tidak selesa ini.

Aku mesti memastikan nama baik PGSR dan maruah sebagai guru dihargai.  Biarlah…, tahanlah…, sabarlah…, kerana hanya beberapa jam sahaja di sini.” Begitu keputusan hati Farah apabila mengenangkan dan memikirkan Cyntia atas apa yang terpaksa mereka alami.
Keluar dari bilik air melihat Seha sebuk menyincang ikan-ikan kecil yang masih mentah. 

“Nak buat apa tu?”

“Nak bagi kucing makan.”

“Oo…oo… ada bela kucing ke?”  Mata Farah meleret ke arah beberapa ekor kucing yang berkeliaran di kaki Seha.

“Ada. Ada sebelas ekor semuanya.  Saya suka kucing Kak.  Bela kucing ni elok, bawa rezki pada kita.”  Seha melemparkan potongan ikan-ikan itu ke lantai.

“Ya betul, betul-betul,” akui Farah.  Diapun terpaksa menjengketkan kakinya apabila melihat kucing-kucing itu meluru ke lantai mengejar potongan ikan tadi. Patutlah lantai simen itu melekit kerana potongan ikan itu akan dibawa oleh kucing merata tempat yang lapang untuk dinikmati.

“Tak ada selipar ke? Saya ada air sembahyang nie.”

“Tak ada, kalau Kak ndak kena basuh selipar luar.”

“Oo…o…, tak apalah, saya jengket je le...”  Farah berlalu melihat Cyntia duduk di kerusi depan sambil membelek-belek majalah lama. Cyntia mengangguk-nganggukkan kepala tanda faham apabila diberi isyarat oleh Farah untuk solat.

-----------------------------------------------------------------

Selesai solat, Farah mengajak Cyntia ke dapur untuk menolong Seha memasak makanan malam.  Memang mereka dimestikan makan malam bersama keluarga angkat sebelum keluar dari rumah bagi mengikuti program seterusnya. 

“Seha, ini tempat apa ma..?” Tanya Cyntia apabila menjengah keluar dapur, memerhati satu set periuk pembakar dan pengukus yang besar. Matanya meleret ke arah beberapa peralatan dan besen besar yang bersepah di satu sudut dengan  kelibat kucing yang berkeliaran.  Meja dan sinki dipenuhi pinggan mangkuk yang tidak dibasuh.

“Ha Kak,  itulah periuk kami bakar ayam dan rebus sup.  Kan kami buat nasi ayam dan bihun sup, jual kat pasar malam.”

“Oh ye ke…, pasar malam kat mane?  Malam ni tak niagalah ye?  Maaflah… kami terpaksa menyusahkan Seha dan keluarga,”  Farah menyampuk lantas menjengok sama di belakang Cyntia.

“Kat sekitar Taiping.  Ikut jadual, malam ni pasar malam kat Bukit Jana tapi tak pegi le.  Rehatlah satu malam.  Kalau tak, langsung tak dapat jumpa kak berdua.”

“Hm…, ye juga. Besarlah periuk ni, mesti mahal,”

“Memang besar, boleh bakar sepuluh ekor ayam dalam satu periuk tu. Manalah kami mampu kak kalau tak ada Amanah Ikhtiar.  Kami ambil pinjaman Tekun.  Bayarlah tiap-tiap bulan.”

“Oh begitu,” Farah melarikan kakinya dari kucing yang berkeliaran sambil membetulkan tapak pengisar yang terjatuh dilanggar kucing.  Geli memegangnya, kerana semacam tidak pernah dibersihkan, bertompok-tompok bawang dan cili yang masih melekat pada bekas pengisar. 

Seha mengeluarkan ayam dari peti ais sambil membuka bungkusan yang baru dibawa suaminya Fuad.

“Malam ni kita makan ikan masin dengan sambal belacan, boleh kak?  Tapi untuk kak ni, ada ayam.’  Seha memegang bahu Cyntia bimbang dia tidak biasa.

“Oklah tu, saya memang suka sambal belacan.  Saya biasa makan ma.  Dulupun saya tinggal dalam masyarakat Melayu,” Cyntia menyakinkan Seha menerima cadangannya.

Sepanjang memasak, Farah berusaha memastikan kebersihan setiap bahan masakan kerana dia bimbang nanti dia tidak berselera untuk makan. Ikan masin dia yang bersihkan.  Cili juga dia yang basuh serta sambal ditumbuk menggunakan lesung batu.  Dia tekilan tidak sempat membersihkan ayam kerana Seha terlalu cepat memasukkan ayam yang berlendir dan berdarah ke dalam kuali yang tersedia minyak masak  terpakai yang sudah hitam.  Ayam goreng itu kemudiannya diuruskan oleh Seha  dengan memasak gulai kicap.  Memang wangi dan nampak sedap tapi dalam hati Farah, dia berazam tidak mahu menyentuh ayam itu. 

Seha mengeluarkan pula ikan tamban kering.  Ikan tamban sejenis ikan kecil seperti ikan bilis tetapi harganya lebih murah dan mudah didapati di kampung-kampung.

“Mari kami buang tahinya.’

‘Tak payah kak, kita goreng sekali dengan tahi-tahinya baru sedap, baru manis,”

“Oh ye!”  Teringat Farah dulu semasa kecil-kecil, ikan tamban itulah makanan keluarganya. Dibelah, dibuang tahinya, digoreng atau pun ditumis dengan sambal memang sedap.  Pernah juga digoreng terus tanpa dibuang tahinya tetapi hanya bagi ikan tamban yang kecil dan susah dibelah. Sebelum itu dibasuh bersih-bersih tapi Farah melihat Seha hanya melalukan sahaja air pada ikan tamban tersebut tanpa meramas membuang kotoran yang melekat.

“Mari kak basuh dan gorengkan.”  Farah meminta secara lembut.  Seha melepaskannya dan menghidupkan api lantas mengangkat kuali berisi minyak menggoreng ayam tadi.  Apa nak buat, terkebil-kebil mata Farah melihatnya.  Terpaksalah juga dia menggoreng menggunakan minyak lama yang hitam itu.

---------------------------------------------------------------

Lewat petang, Farah dan Cyntia diperkenalkan dengan dua anak mereka yang baru pulang dari sekolah. Zalina pelajar tingkatan dua, manakala Amir tingkatan 4. Tadi Amir pergi mengambil adiknya yang bersekolah petang.

Selesai solat maghrib, kesemua mereka mengadap hidangan yang disediakan.  Zalina menceduk nasi tetapi diminta Farah dan Cyntia membubuh sedikit dahulu. Kelihatan kedua anak mereka begitu berselera makan, Fuad juga begitu.

“Kak, ambillah ayam. Kak tak makan ayam ke?” Seha menceduk ayam untuk dibubuh ke dalam pinggan Farah tetapi cepat-cepat Farah menggelengkan kepalanya.

“Maaf. Kak tak makan ayam, erlegik,” Farah memberikan alasan bagi menjaga hati. Bau ayam masak kicap itu memang harum menyebabkan Cyntia menerima huluran Seha. Cyntia dan Farah membuktikan penerimaan mereka dengan menghabiskan nasi di pinggan mengikut pilihan lauk tersendiri.  Walaupun terasa lambat waktu makan malam itu berakhir, tetapi mereka berdua cuba menceriakan suasana sebaiknya.

Memang Cyntia nampak kekok tapi Farah berusaha menunjukkan kemesraan kepada Seha kerana bimbang dia kecil hati.  Kalau Cyntia begitu, Seha masih boleh menerima kerana Cyntia  bukan berbangsa Melayu tetapi kalau Farah juga begitu sudah tentu Seha akan terperasan.

Sebenarnya, pengalaman Farah sebagai anak kampung yang biasa susah, menjadi kekuatan dia menerima keadaan itu. Ibu ayahnya menoreh getah pagi, dan bersawah pada sebelah petangnya menjadi mereka terlalu letih dan tiada ruang masa membersih dan mengemas rumah.  Tapi itu bukan alasannya kerana… kalau sikap kita suka kepada kebersihan, letih bagaimanapun kebersihan itu amat dipentingkan.

Ibunya sentiasa akan pastikan anak-anak mengemas dahulu bilik tidur sebelum pergi ke sekolah. Pakaian sekolah sudah menjadi rutin setiap orang daripada mereka menjaga kebesihannya, apabila kotor mesti dibasuh sendiri. Kalau hari cuti pula, setiap orang dari adik beradiknya sudah ada tugas membersih yang diamanahkan oleh ibu mereka.  Mereka akan mengagihkan tugas mengikut giliran.  Bilik air perlu diberus dan dicuci. Dapur kayu yang penuh dengan abu perlu dibuang dan dikemaskan supaya senang untuk dinyalakan api kemudiaannya, periuk belanga yang hitam perlu dicuci sampai berkilat. Lantai mesti disapu dan dilapkan dengan kain buruk yang lembab. 

Habuk dan sawang mesti sentiasa dibersih.  Luar rumah juga perlu disapu dan dikumpul daun-daun untuk dibakar bersama sampah sarap yang lain. Walaupun rumahnya hanya rumah kayu yang kecil  dan buruk tetapi apabila aspek kebersihan terlalu ditekankan, rumah kecil dan buruk itulah menjadi tempat yang sentiasa menggamit nostalgia Farah.  Terasa bahagia dia berada di rumahnya itu, meskipun terlalu banyak kesusahan yang pernah ditempuhi. Susah untuk hidup itu cabaran namanya, tapi pengotor dalam hidup menjadikan kita hina pada pandangan manusia lain dan menyebabkan kita tiada kawan.

-------------------------------------------------------------

“Hei Farah, apa menung tu?”  Jerit Cyntia semasa menunggu acara sukaneka.

“Tak adalah… Teringat Seha ajak kita pegi lagi rumahnya, makan laksa.”

“O…oo… mintak maaf, I tak mau pegi.  Kalau you nak pegi, pegilah...”  Sungguh-sungguh Cyntia menggelengkan kepalanya sambil membisik  ke telinga Farah, “You tak perasan ke, rumah Seha tu amat kotor. I geli la…”

Farah ketawa kuat mendengar bisikan Cyntia. Geli hatinya tidak terkira.  Kawan-kawan lain di sekelilingnya terpinga-pinga, hairan dengan telatah Farah dan Cyntia.

“You ingat, you sorang ke rasa begitu? I pun geli…”  Balas Farah mengumpan, teringin dia mengorek perasaan dan pandangan Cyntia.

“I kan…, hairan sungguh… Mengapa dia tidak mahu bersihkan terus tempat dan barangan yang selalu digunakan? I suka bihun sup, lepas nie I tak akan beli lagi bihun sup pasar malam,  Kotor, terlalu kotor!  You tau, semasa dalam bilik air, I teringat  cerita YB dalam ucapan perasmian semalam. Sama ma, cuma beza bilik air kita ada lubang, dia punya tiada lubang!”

Mengekek Farah ketawa. Ya betul, semasa perasmian semalam, YB Kapten Bersara Dato’ Najamuddin Elias, ADUN Batu Kurau telah menceritakan pengalamannya bersama keluarga angkat sepertimana yang mereka berdua baru tempuhi.

Lia, Tina dan Hajar yang memasang telinga terkejut mendengar cerita Cyntia. Farah menerangkan kisah sebenar yang mereka hadapi dan meminta cadangan untuk tidak menghampakan pelawaan Seha. Akhirnya mereka mendapat idea supaya Seha bungkus sahaja laksa dan mereka akan bawa balik ke chalet yang ditumpangi.  Selesailah masalah Farah dan Cyntia.

---------------------------------------------------------------

Pada malam penutupnya, Farah menghampiri Seha yang sedang berbual dengan salah seorang pensyarahnya. Seha memberitahu bahawa pensyarah itu ialah pelanggan tetapnya.  Geli geleman Farah apabila mengenangkan kualiti bihun sup dan nasi ayam yang mereka jual di pasar malam. Tidak sampai hatinya hendak memberitahu pensyarah itu tentang kebersihan makanan yang dijual Seha.  Biarlah…, lagipun mungkin pensyarah itu tidak akan percaya selagi dia tidak melihat sendiri.

Sebelum ini, Farah biasa juga membeli makanan di pasar malam tetapi selepas ini, mungkin dia akan berfikir berkali-kali sebelum membelinya. Baginya, makanan merupakan sumber asas tubuh yang perlu dijaga supaya kelansungan hidup sentiasa diberkati. Sebagai seorang yang berpegang kuat kepada agama, Farah percaya kebersihan adalah sebahagian daripada iman.  Apabila kebersihan diabaikan, seolah-olah kita membuang separuh iman dalam diri kita.  Cukuplah pengalaman itu mengajarnya sentiasa berwaspada dengan makanan luar yang belum pasti kebersihannya. Konklusi Farah ialah memasak makanan sendiri lebih baik dan jika terpaksa juga makan luar, lihatlah penjualnya dan alatan jualannya!

---------------------------------------------------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan