“Inilah rumah kami,” kata Fuad sambil menarik pedal
brek kereta yang dipandunya. Farah dan Cyntia tersenyum melihat rumah yang
bakal didiami selama beberapa jam nanti. Fuad mematikan injin kereta Proton
Iswara keluaran tahun 1990an yang sudah jem pintu kanannya itu. Farah terpaksa
keluar mengikut Cyntia sebelah kiri.
“Kak berdua dok dulu, saya pi kedai jap,” Fuad
mengundurkan keretanya setelah mengeluarkan barangan yang dibawa. Farah dan Cyntia menganggukkan kepala.
“O…ho… ada bela arnab. Jantan ke betina nie?” Tegur
Farah
“Jantan. Dulu ada bininya, anak pun ada tapi dah mati
bila kena penyakit. Yang tu pun sakit, tu la duk diam je… Sebab Amir le yang
suka main. Kalau tak kami tak bela.”
Terang Seha merujuk arnab yang berada dalam sangkar, betul-betul di tepi pintu
rumah yang kelihatan terkejut dengan kehadiran kami. Cyntia menutup hidung, mungkin tidak tahan
dengan bau hamis arnab lebih-lebih lagi apabila melihat najis binatang itu di
merata tempat seperti tidak pernah dicuci.
“Kerja macam kami ni kak, tak der masa nak bersih dan
hias rumah,” sambung Seha seolah-olah mengerti maksud tingkah Cyntia itu,
sebenarnya dia cuba menutup kelemahan dirinya sebagai surirumah. Seha terus
membuka pintu rumah sambil cepat-cepat membetulkan kerusi dan kusyen buruk yang
berselerakan.
“Betullah tu, syukur juga ada tempat berteduh dan
selesa ala kadar,” Farah membalas tetapi sebenarnya mahu menyembunyikan
ketidakselesaan yang bakal dihadapi. Ada karpet lama sudah lusuh dengan bau
yang masam. Terasa geli memijaknya kerana memang lembab dan kotor. Perasaannya
bercampur-baur, susah hendak digambarkan kerana terasa malu pada Cyntia. Ini
pengalaman pertama Cyntia berada dalam keluarga Melayu.
Entah bagaimana nama Cyntia dipasangkan dengan Farah
dalam Program Keluarga Angkat anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus
Ipoh. Progam Keluarga Angkat ini
merupakan aktiviti wajib Bina Insan Guru (BIG) bagi memenuhi syarat mendapatkan
ijazah dalam program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) yang mereka ikuti.
Farah dan Cyntia sebenarnya telah menjadi guru melebihi dua puluh tahun, sudah
bekeluarga dan biasa bergaul dalam masyarakat tetapi tidak menyangka program
seperti ini mesti juga ditempuhi.
Walau bagaimanapun keduanya sentiasa positif kerana
menganggap program ini akan memberi lebih pengalaman dan pengetahuan. Bagi Farah inilah peluangnya bertemu dan
bergaul dengan orang kampung berketurunan Pattani di daerah utara ini kerana
dia juga berketurunan yang sama. Tiada masalah baginya untuk berkomunikasi dan
menghayati kehidupan mereka kerana latarbelakangnya seperti mereka juga,
meskipun sudah hampir tiga puluh tahun tinggal di Bandaraya Ipoh.
Bagi Cyntia pula, walaupun dia berbangsa Cina tetapi
bukan tidak pernah berada dalam mayarakat Melayu. Dia biasa bergaul dengan orang Melayu semasa
mengajar di Baling dulu. Biasa dengan
suasana kehidupan dan makanan orang Melayu.
Biasa berhubung dan bergaul dengan orang Melayu. Biasa menggunakan Bahasa Melayu dengan baik
dan inilah faktornya dia memilih pengkhususan Bahasa Melayupun. Harapannya, dengan program yang ditempuhi ini
akan membantunya lebih memahami budaya
orang Melayu.
“Boleh saya pergi bilik air, saya nak mandi dulu ma”
pinta Cyntia pada Seha sambil memandang Farah.
“Boleh…, boleh.
Kak Farah…, Kak masuk dalam bilik Ina anak saya nie untuk salin pakaian.” Beritahu
Seha pada Farah sebelum membawa Cyntia ke bilik
air di dapur.
Farah membawa beg persalinan ke dalam bilik. Kelihatan
sebuah bilik yang sederhana. Alang dan jenangnya dipenuhi sawang memberi
gambaran tidak pernah dibersihkan. Sebuah katil dengan beberapa bantal tersusun
atas tilam yang berlipat. Farah mengibas-ngibas lantai menggunakan kain di tepi
pintu bagi menyediakan tempat untuk dibentangkan sejadah kerana ingin
mengerjakan solat asar. Badannya terasa melekit lantas mencapai tuala untuk
mandi dahulu.
Di pintu bilik air, terlihat Cyintia
terjengkit-jengkit atas simen dapur mungkin tidak biasa keadaan di situ. Pelek
juga…, tapi memang Farah akui rupanya lantai simen itu melekit-lekit ditambah
pula dengan air yang bertakung dalam bilik air.
Air mandian Cnytia tadi tidak
masuk ke lubang. Farah mengambil batang
penyapu, lalu menguis-nguis sampah yang berkumpul di lubang bilik air. Barulah air bertakung tadi berkurangan.
Melihat kain basahan tiada di situ, Farah meminta Seha sehelai kain batik untuk dibuat
basahan. Terkejutnya Farah apabila menarik pintu
untuk ditutup, rupanya pintu itu sudah
terkopak. Tiada ensel yang menyambung pintu itu ke dinding.
“La…, memang begini ke pintu nie!” jerit Farah
kehairanan.
“Ya… Kak. Tak payah tutup, kami dah biasa begitu!”
“Heis…ss…s… mana boleh begitu, suami Seha, Fuadkan ada”
“Tak pa Kak, dia tak datang dapur…”
Tanpa menghiraukan kata Seha, Farah tetap mengangkat
pintu itu dan meletakkannya di tengah-tengah.
Nasib baik pintu itu jenis plastik yang ringan untuk diangkat.
“Sekurang-kurangnya tertutup jugak, Kalau tak mandi sekarang, nanti sampai
besok aku tak mandi,” bisik Farah mententeramkan hatinya.
Menceduk air di kolah terasa sejuknya, tapi terlihat pula
dasar kolah yang hitam dan berlumut. Berkumpul kelodak yang dia tidak pasti
kebersihannya. Geli rasanya untuk menjirus ke kepala. Dibukanya paip, lantas ditadah air
menggunakan gayung. Begitulah berulangkali dilakukan kerana dia tidak sanggup
menggunakan air yang kotor meskipun kesejukan air kolah begitu menyegarkan.
“Kesian Cyntia…, mesti dia pun begini. Mesti dia geli.
Mesti tak selesa. Mesti memberi kesan kepada minda dan emosinya. Aku tidak boleh menunjukkan rasa geli ini
kepada dia. Aku mesti yakinkan dia untuk
menerima keadaan ini supaya tidak
menunjukkan sebarang reaksi negatif, supaya tidak menimbulkan sebarang masalah
dan kekecohan akibat tidak selesa ini.
Aku
mesti memastikan nama baik PGSR dan maruah sebagai guru dihargai. Biarlah…, tahanlah…, sabarlah…, kerana hanya
beberapa jam sahaja di sini.” Begitu keputusan hati Farah apabila mengenangkan
dan memikirkan Cyntia atas apa yang terpaksa mereka alami.
Keluar dari bilik air melihat Seha sebuk menyincang ikan-ikan
kecil yang masih mentah.
“Nak buat apa tu?”
“Nak bagi kucing makan.”
“Oo…oo… ada bela kucing ke?” Mata Farah meleret ke arah beberapa ekor
kucing yang berkeliaran di kaki Seha.
“Ada. Ada sebelas ekor semuanya. Saya suka kucing Kak. Bela kucing ni elok, bawa rezki pada
kita.” Seha melemparkan potongan
ikan-ikan itu ke lantai.
“Ya betul, betul-betul,” akui Farah. Diapun terpaksa menjengketkan kakinya apabila
melihat kucing-kucing itu meluru ke lantai mengejar potongan ikan tadi.
Patutlah lantai simen itu melekit kerana potongan ikan itu akan dibawa oleh
kucing merata tempat yang lapang untuk dinikmati.
“Tak ada selipar ke? Saya ada air sembahyang nie.”
“Tak ada, kalau Kak ndak kena basuh selipar luar.”
“Oo…o…, tak apalah, saya jengket je le...” Farah berlalu melihat Cyntia duduk di kerusi depan
sambil membelek-belek majalah lama. Cyntia mengangguk-nganggukkan kepala tanda
faham apabila diberi isyarat oleh Farah untuk solat.
-----------------------------------------------------------------
Selesai solat, Farah mengajak Cyntia ke dapur untuk
menolong Seha memasak makanan malam.
Memang mereka dimestikan makan malam bersama keluarga angkat sebelum
keluar dari rumah bagi mengikuti program seterusnya.
“Seha, ini tempat apa ma..?” Tanya Cyntia apabila
menjengah keluar dapur, memerhati satu set periuk pembakar dan pengukus yang
besar. Matanya meleret ke arah beberapa peralatan dan
besen besar yang bersepah di satu sudut dengan kelibat kucing yang berkeliaran. Meja dan sinki dipenuhi pinggan mangkuk yang
tidak dibasuh.
“Ha Kak, itulah
periuk kami bakar ayam dan rebus sup.
Kan kami buat nasi ayam dan bihun sup, jual kat pasar malam.”
“Oh ye ke…, pasar malam kat mane? Malam ni tak niagalah ye? Maaflah… kami terpaksa menyusahkan Seha dan
keluarga,” Farah menyampuk lantas
menjengok sama di belakang Cyntia.
“Kat sekitar Taiping.
Ikut jadual, malam ni pasar malam kat Bukit Jana tapi tak pegi le. Rehatlah satu malam. Kalau tak, langsung tak dapat jumpa kak
berdua.”
“Hm…, ye juga. Besarlah periuk ni, mesti mahal,”
“Memang besar, boleh bakar sepuluh ekor ayam dalam
satu periuk tu. Manalah kami mampu kak kalau tak ada Amanah Ikhtiar. Kami ambil pinjaman Tekun. Bayarlah tiap-tiap bulan.”
“Oh begitu,” Farah melarikan kakinya dari kucing yang
berkeliaran sambil membetulkan tapak pengisar yang terjatuh dilanggar
kucing. Geli memegangnya, kerana semacam
tidak pernah dibersihkan, bertompok-tompok bawang dan cili yang masih melekat
pada bekas pengisar.
Seha mengeluarkan ayam dari peti ais sambil membuka
bungkusan yang baru dibawa suaminya Fuad.
“Malam ni kita makan ikan masin dengan sambal belacan,
boleh kak? Tapi untuk
kak ni, ada ayam.’ Seha memegang bahu Cyntia bimbang dia tidak biasa.
“Oklah tu, saya memang suka sambal belacan. Saya biasa makan ma. Dulupun saya tinggal dalam masyarakat Melayu,”
Cyntia menyakinkan Seha menerima cadangannya.
Sepanjang memasak, Farah berusaha memastikan
kebersihan setiap bahan masakan kerana dia bimbang nanti dia tidak berselera untuk makan. Ikan masin dia yang
bersihkan. Cili juga dia yang basuh serta
sambal ditumbuk menggunakan lesung batu.
Dia tekilan tidak sempat membersihkan ayam kerana Seha terlalu cepat
memasukkan ayam yang berlendir dan berdarah ke dalam kuali yang tersedia minyak
masak terpakai yang sudah hitam. Ayam goreng itu kemudiannya diuruskan oleh
Seha dengan memasak gulai kicap. Memang wangi dan nampak sedap tapi dalam hati
Farah, dia berazam tidak mahu menyentuh ayam itu.
Seha mengeluarkan pula ikan tamban kering. Ikan tamban sejenis ikan kecil seperti ikan
bilis tetapi harganya lebih murah dan mudah didapati di kampung-kampung.
“Mari kami buang tahinya.’
‘Tak payah kak, kita goreng sekali dengan tahi-tahinya
baru sedap, baru manis,”
“Oh ye!”
Teringat Farah dulu semasa kecil-kecil, ikan tamban itulah makanan
keluarganya. Dibelah, dibuang tahinya, digoreng atau pun ditumis dengan sambal
memang sedap. Pernah juga digoreng terus
tanpa dibuang tahinya tetapi hanya bagi ikan tamban yang kecil dan susah
dibelah. Sebelum itu dibasuh bersih-bersih tapi Farah melihat Seha hanya
melalukan sahaja air pada ikan tamban tersebut tanpa meramas membuang kotoran
yang melekat.
“Mari kak basuh dan gorengkan.” Farah meminta secara lembut. Seha melepaskannya dan menghidupkan api
lantas mengangkat kuali berisi minyak menggoreng ayam tadi. Apa nak buat, terkebil-kebil mata Farah melihatnya. Terpaksalah juga dia menggoreng menggunakan
minyak lama yang hitam itu.
---------------------------------------------------------------
Lewat petang, Farah dan Cyntia diperkenalkan dengan
dua anak mereka yang baru pulang dari sekolah. Zalina pelajar tingkatan dua,
manakala Amir tingkatan 4. Tadi Amir pergi mengambil adiknya yang bersekolah
petang.
Selesai solat maghrib, kesemua mereka mengadap
hidangan yang disediakan. Zalina
menceduk nasi tetapi diminta Farah dan Cyntia membubuh sedikit dahulu. Kelihatan
kedua anak mereka begitu berselera makan, Fuad juga begitu.
“Kak, ambillah ayam. Kak tak makan ayam ke?” Seha
menceduk ayam untuk dibubuh ke dalam pinggan Farah tetapi cepat-cepat Farah
menggelengkan kepalanya.
“Maaf. Kak tak makan ayam, erlegik,” Farah memberikan
alasan bagi menjaga hati. Bau ayam masak kicap itu memang harum menyebabkan
Cyntia menerima huluran Seha. Cyntia dan Farah membuktikan penerimaan mereka
dengan menghabiskan nasi di pinggan mengikut pilihan lauk tersendiri. Walaupun terasa lambat waktu makan malam itu
berakhir, tetapi mereka berdua cuba menceriakan suasana sebaiknya.
Memang Cyntia nampak kekok tapi Farah berusaha
menunjukkan kemesraan kepada Seha kerana bimbang
dia kecil hati. Kalau Cyntia begitu,
Seha masih boleh menerima kerana Cyntia
bukan berbangsa Melayu tetapi kalau Farah juga begitu sudah tentu Seha
akan terperasan.
Sebenarnya, pengalaman Farah sebagai anak kampung yang
biasa susah, menjadi kekuatan dia menerima keadaan itu. Ibu ayahnya menoreh
getah pagi, dan bersawah pada sebelah petangnya menjadi mereka terlalu letih
dan tiada ruang masa membersih dan mengemas rumah. Tapi itu bukan alasannya kerana… kalau sikap
kita suka kepada kebersihan, letih bagaimanapun kebersihan itu amat dipentingkan.
Ibunya sentiasa akan pastikan anak-anak mengemas
dahulu bilik tidur sebelum pergi ke sekolah. Pakaian sekolah sudah menjadi
rutin setiap orang daripada mereka menjaga kebesihannya, apabila kotor mesti
dibasuh sendiri. Kalau hari cuti pula, setiap orang dari adik beradiknya sudah
ada tugas membersih yang diamanahkan oleh ibu mereka. Mereka akan mengagihkan tugas mengikut
giliran. Bilik air perlu diberus dan
dicuci. Dapur kayu yang penuh dengan abu perlu dibuang dan dikemaskan supaya
senang untuk dinyalakan api kemudiaannya, periuk belanga yang hitam perlu
dicuci sampai berkilat. Lantai mesti disapu dan dilapkan dengan kain buruk yang
lembab.
Habuk dan sawang mesti sentiasa dibersih. Luar rumah juga perlu disapu dan dikumpul
daun-daun untuk dibakar bersama sampah sarap yang lain. Walaupun rumahnya hanya
rumah kayu yang kecil dan buruk tetapi
apabila aspek kebersihan terlalu ditekankan, rumah kecil dan buruk itulah
menjadi tempat yang sentiasa menggamit nostalgia Farah. Terasa bahagia dia berada di rumahnya itu,
meskipun terlalu banyak kesusahan yang pernah ditempuhi. Susah untuk hidup itu
cabaran namanya, tapi pengotor dalam hidup menjadikan kita hina pada pandangan
manusia lain dan menyebabkan kita tiada kawan.
-------------------------------------------------------------
“Hei Farah, apa menung tu?” Jerit Cyntia semasa menunggu acara sukaneka.
“Tak adalah… Teringat Seha ajak kita pegi lagi
rumahnya, makan laksa.”
“O…oo… mintak maaf, I tak mau pegi. Kalau you nak pegi, pegilah...” Sungguh-sungguh Cyntia menggelengkan
kepalanya sambil membisik ke telinga
Farah, “You tak perasan ke, rumah Seha tu amat kotor. I geli la…”
Farah ketawa kuat mendengar bisikan Cyntia. Geli hatinya
tidak terkira. Kawan-kawan lain di
sekelilingnya terpinga-pinga, hairan dengan telatah Farah dan Cyntia.
“You ingat, you sorang ke rasa begitu? I pun
geli…” Balas Farah mengumpan, teringin
dia mengorek perasaan dan pandangan Cyntia.
“I kan…, hairan sungguh… Mengapa dia tidak mahu
bersihkan terus tempat dan barangan yang selalu digunakan? I suka bihun sup,
lepas nie I tak akan beli lagi bihun sup pasar malam, Kotor, terlalu kotor! You tau, semasa dalam bilik air, I teringat cerita YB dalam ucapan perasmian semalam. Sama
ma, cuma beza bilik air kita ada lubang, dia punya tiada lubang!”
Mengekek Farah ketawa. Ya betul, semasa perasmian
semalam, YB Kapten Bersara Dato’ Najamuddin Elias, ADUN Batu Kurau telah menceritakan
pengalamannya bersama keluarga angkat sepertimana yang mereka berdua baru
tempuhi.
Lia, Tina dan Hajar yang memasang telinga terkejut
mendengar cerita Cyntia. Farah menerangkan kisah sebenar yang mereka hadapi dan
meminta cadangan untuk tidak menghampakan pelawaan Seha. Akhirnya mereka
mendapat idea supaya Seha bungkus sahaja laksa dan mereka akan bawa balik ke chalet yang ditumpangi. Selesailah masalah Farah dan Cyntia.
---------------------------------------------------------------
Pada malam penutupnya, Farah menghampiri Seha yang
sedang berbual dengan salah seorang pensyarahnya. Seha memberitahu bahawa pensyarah
itu ialah pelanggan tetapnya. Geli
geleman Farah apabila mengenangkan kualiti bihun sup dan nasi ayam yang mereka
jual di pasar malam. Tidak sampai hatinya hendak memberitahu pensyarah itu
tentang kebersihan makanan yang dijual Seha.
Biarlah…, lagipun mungkin pensyarah itu tidak akan percaya selagi dia
tidak melihat sendiri.
Sebelum ini, Farah biasa juga membeli makanan di pasar
malam tetapi selepas ini, mungkin dia akan berfikir berkali-kali sebelum
membelinya. Baginya, makanan merupakan sumber asas tubuh yang perlu dijaga
supaya kelansungan hidup sentiasa diberkati. Sebagai seorang yang berpegang
kuat kepada agama, Farah percaya kebersihan adalah sebahagian daripada
iman. Apabila kebersihan diabaikan,
seolah-olah kita membuang separuh iman dalam diri kita. Cukuplah pengalaman itu mengajarnya sentiasa
berwaspada dengan makanan luar yang belum pasti kebersihannya. Konklusi Farah
ialah memasak makanan sendiri lebih baik dan jika terpaksa juga makan luar,
lihatlah penjualnya dan alatan jualannya!
---------------------------------------------------------------